Tuesday, July 12, 2011

Untuk Pertama Kali Saya Suka Baca UTUSAN

Dah berzaman aku tak baca paper UTUSAN. Tapi arini aku dapat 1 link dari kawan aku Pak Long. Thanx Pak Long.. Untuk pertama kali aku suke baca UTUSAN. Tapi tak bermakna aku akan baca lagi..no way..

Mengapa harga rumah di Selangor mahal?

SAYA sempat melawat ke Ekspo Hartanah dan Perumahan yang diadakan di PWTC pada 1-3 Julai 2011, baru-baru ini. Harapan saya cukup besar, diharap melalui pameran ini dapatlah saya menemui rumah idaman.

Saya lulusan universiti dan seorang eksekutif di tempat saya bekerja. Dengan pekerjaan dan pendapatan saya, seharusnya saya tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan rumah yang sesuai dengan saya.

Tetapi, hasil lawatan ke ekspo tersebut amatlah mengecewakan saya. Rumah teres dua tingkat di sekitar Selangor yang ingin dijual oleh pemaju rata-ratanya berharga RM450,000 hingga jutaan ringgit.
Harga tidak munasabah yang diletakkan pemaju ini rupa-rupanya bukan sahaja bagi kawasan di sekitar Lembah Klang, tetapi sudah merebak ke kawasan-kawasan lain seperti Sungai Buloh, Rawang, Semenyih dan Nilai. 

Bagi rumah teres dua tingkat di kawasan Lembah Klang apatah lagi, harganya tidak kurang setengah juta walaupun hanya untuk lot tengah. Saya sebenarnya tidak kisah sangat akan jenis rumah yang ingin dicari.

Pangsapuri atau rumah teres setingkat juga sudah memadai asalkan rumah itu bersesuaian dan harganya mampu dimiliki. Tapi malangnya, amat sukar mencari rumah yang berharga sekitar RM200,000-RM300,000 dalam ekspo tersebut. Kalau adapun, letaknya di Melaka atau Perak!
Paling aneh, wakil penjual menyatakan harga yang ditawarkan dalam ekspo tersebut hanya untuk tempoh dua minggu sahaja, kononnya early bird promotion kerana selepas itu harganya akan naik lagi.

Malah, wakil penjual sempat memberitahu bahawa harganya bakal naik sekali lagi dalam tempoh sebulan dua akan datang. Bagi saya, fenomena ini amat pelik kerana tidak mungkin harga hartanah naik secara drastik hanya dalam tempoh sebulan atau dua bulan.

Mengapakah pemaju mengawal dan menetapkan harga rumah dengan sesuka hati? Pembeli nampaknya menjadi mangsa dalam hal ini. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan usahlah berpeluk tubuh sahaja. Lakukanlah sesuatu untuk membela nasib rakyat. Dasar perlu digubal agar pembeli tidak ditindas dan pemaju tidak mengambil untung atas angin semata-mata.

Kalau dibuat perbandingan, hartanah di bandar raya besar seperti Tokyo atau London memang mahal berbanding di kawasan bandar biasa. Tetapi, penduduk di bandar raya Tokyo dan London menerima gaji dua hingga tiga kali ganda lebih besar daripada penduduk di kawasan luar bandar. 

Oleh itu, harga rumah yang mahal dianggap sepadan dengan gaji yang mereka terima.
Sedangkan di Malaysia, penduduk di kawasan bandar raya besar seperti Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Pulau Pinang menerima gaji yang tidak jauh beza dengan penduduk di tempat-tempat lain tetapi terpaksa menanggung harga rumah yang jauh lebih mahal. Dalam ekspo tersebut, saya juga ada terlihat pendaftaran rumah mampu milik yang berharga sekitar RM200,000.

Malangnya, syarat yang ditetapkan ialah pembeli mesti berpendapatan kasar tidak lebih RM3,000. Dalam hal ini, saya pula tidak layak mendaftar kerana pendapatan saya melebihi RM3,000.
Apakah yang perlu dilakukan? Mahu beli rumah mampu milik atau rumah kos rendah tidak layak, hendak beli rumah biasa pula tidak mampu kerana harganya yang mencecah setengah juta ringgit.
Apakah yang dilakukan oleh kerajaan untuk membela nasib golongan pertengahan seperti saya? Kami golongan pertengahan sering tersepit di tengah-tengah kerana tidak dapat masuk ke dalam mana-mana kumpulan.

Akhirnya saya pulang dari ekspo tersebut dengan tangan kosong, hati yang hampa dan terkilan.

SAYA SETUJU  200%.

* dan sumbernya saya dapat dari akhbar BN

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...